23 Sept 2019

LAUT LEPAS YANG TERBENTANG

Pesisir pantai itu dangkal,
Indah namun tidak mendasar,
Dihiasi rimbunan pepohon rhu,
Bertatahkan pepasir yang mulus, 
Namun acapkali tercemar oleh tangan-tangan pendosa,
Yang menodai keperawanan ciptaan Ilahi.

Di hadapan itu adalah lautan lepas,
Luas dan mengasyikkan,
Permukaannya biru menghijau,
Dasarnya pula kelam,
Menyimpan sejuta macam rahsia,
Wadah bagi hidupannya menari,
Juga membekalkan rezeki yang tidak terperi.

Insan itu berdiri di gigian samudera,
Merenung hadirnya sang purnama penuh,
Menyinari riak-riak air itu,
Dalam dia amat menyedari,
Ilmu insaninya itu dangkal,
Ibarat tinggalan titisan air di jarinya.
Tidak terbanding dengan luas dan dalamnya lautan lepas itu.

Wahai diri yang bernama insan,
Sedarilah yang kita amat daif dan fakir,
Sekadar meminjam setitis panduan daripada Al-Hakim
Selain mengharapkan maghfiratNya, 
Buanglah ujub dan riakmu,
Kerana dirimu tiada apa.


Naji Mahat
23 September 2019, 12.55 pagi
Johor Bahru.



No comments:

Post a Comment