15 Jun 2016

Sahabatku, teruskanlah kembaramu mencari redha Ilahi



Hari ini amat membahagiakan buat mereka,

Penanda perjuangan yang bermula,

Sekitar empat musim yang lalu,

Sudah kian tiba di hujung lembaran naskah itu,



Kisah suka-duka serta tangis-tawa

Yang pernah mengiringi perjuangan itu,

Bakal menjadi sejarah yang tersisip kemas,

Dalam lipatan sanubari mereka,

Menjadi pedoman dalam menongkah,

Arus yang lebih besar dan menggila yang akan menjengah.



Aku pernah berada di situ bersama mereka,

Memimpin tangan-tangan suci itu,

Tapi cuma buat sekelumit masa,

Yang berbekas dan terkesan,

Amat sukar untuk kulenyapkan,

Dari benak dan minda

Walau dengan segenap daya.



Aku gembira melihat mereka berjaya,

Aku bersyukur kerana pernah bersama,

Meski cuma seketika…

Aku tahu sisa yang kutinggal amat kecil,

Mungkin lenyap dalam timbunan memori,

Namun, cuma itu yang terdaya.



Doaku pada Sang Pencipta,

Limpahkanlah restuMu,

Suluhlah jalan-jalan mereka,

Agar mereka tidak sesat dan terdampar lesu,

Dalam kembara yang Kau takdirkan buat mereka,

Hadiahilah mereka dengan petunjuk,

Agar mereka bisa menyentuh hati-hati lain,

Di sepanjang kembara mereka mencari redhaMu.



Naji Mahat

15 Jun 2016, jam 4.29 pagi.

No comments:

Post a Comment