5 Nov 2011

Adakah kita berhemah dalam berbelanja dan mempunyai prioriti yang tepat?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan langkah PTPTN untuk menghentikan pemberian pinjaman perbelanjaan (subsistence allowance) kepada para pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.  Dalam reaksi spontan, Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi membidas langkah tersebut yang pada hematnya akan menyukarkan pelajar-pelajar yang datang daripada latarbelakang keluarga yang susah secara kewangannya.


Saya menghormati dan mengalu-alukan pandangan tersebut yang pada pandangan saya akan menimbulakan satu lagi polemik yang baru.  Namun begitu, persoalan dasar yang tidak diperhatikan dengan kritis ialah pendekatan kerajaan yang tidak meletakkan prioriti yang sepatutnya dalam membelanjakan hasil mahsul negara ini.  Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk menaja pelajar-pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di beberapa universiti yang ternama dunia tanpa mengambil kira keperluan sebenar negara.  Dasar yang diwujudkan suatu masa dahulu bertujuan untuk meningkatkan bilangan professional melayu pada hemat saya tidak lagi relevan buat masa ini. 


Sekiranya pelajar-pelajar tersebut ditaja untuk program-program yang kita masih tidak kecukupan seperti sains aeronautikal mahu pun melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dan doktor falsafah, itu perlu diteruskan bagi menjamin kelangsungan negara.  Tetapi apa yang menyedihkan ialah, sebahagian besar mereka dihantar bagi program-program seperti perubatan, undang-undang dan perakaunan yang mana saya rasa ia bukan suatu keperluan untuk mereka dihantar ke sana.  Hujah saya ini disandarkan kepada beberapa justifikasi.  Pertama pengajian-pengajian seperti itu sudah mampu dilaksanakan di dalam negara dan kedua, sebahagian sukatan pelajaran mereka acapkali tidak relevan untuk dipraktikkan di Malaysia terutama dalam aspek perbexaan jurisdiction dan amalan selain penyakit-penyakit tropika seperti campak yang jarang dijumpai di negara-negara maju.  Disebabkan perbezaan-perbezaan tersebut, pihak kerajaan terpaksa menghabiskan lebih masa untuk melatih mereka bagi tujuan adaptasi kemahiran mereka bagi keperluan dalam negara.  Bukankah ini suatu pembaziran?


Bukankah lebih baik jika jumlah peruntukan yang besar ini disalaur dan dibelanjakan dalam Malaysia?  Kerajaan boleh gunakan wang tersebut untuk membina 'specialized universities' mengkhusus dalam bidang-bidang tersebut.  Berapa ramai yang boleh mendapat peluang pekerjaan?  Bukankah wang yang dibelanjakan dalam negara juga bisa merancakkan ekonomi selain daripada mengatasi masalah para graduan yang enggan pulang selepas melanjutkan pelajaran?


Saya berpendapat sekiranya kerajaan lebih berhemah dalam berbelanja selain mempunyai hieraki prioriti yang tepat, kewangan negara akan lebih baik dan masalah pinjaman pelajaran kepada rakyat akan dapat di atasi.

1 comment: